Keadilan media dalam melaporkan isu jenayah

By: nishashah

Oct 08 2010

Category: Uncategorized

Leave a comment

Perkembangan pantas maklumat melalui media kini menyebabkan masyarakat terdedah kepada pelbagai isu. Rangkuman berita dan maklumat banyak memberi kesan kepada masyarakat, sama ada bersetuju atau terpengaruh dan juga mungkin menolak serta mencetuskan perasaan skeptical yang tidak berkesudahan. Akhirnya, masyarakat menjadi keliru terhadap maklumat yang diterima dan hilang kepercayaan terhadapnya. Begitu juga dalam melaporkan isu-isu jenayah. Walaupun negara kita telah mempunyai institusi kehakiman yang berkaliber namun dengan laporan mengenai isu yang disampaikan telah menyebabkan para pembaca mempunyai pandangan yang tersendiri terhadap isu tersebut seterusnya menyebabkan mereka menjatuhkan hukuman sebelum pembicaraan yang dijalankan.

Dalam dunia haiwan tidak ada manusia, tetapi dalam dunia manusia ada haiwan. Begitu kata-kata yang dapat menggambarkan tentang keadaan dunia  sekarang ini. Kini, kita bagaikan hidup dalam keadaan ketakutan. Pelbagai kes jenayah telah berlaku dan menyebabkan seolah-olah sukar untuk kita mencari tempat yang selamat untuk diduduki. Manusia kini kian kejam. Mereka seolah-olah tidak lagi berpegang pada ajaran agama dan bertindak mengikut perasaan sendiri. Apabila nafsu telah mengawal akal fikiran maka seseorang itu tidak dapat bertindak secara waras. Hasilnya berlaku banyak kes bunuh kini. Sebagai contoh, kes yang sedang hangat dilaporkan oleh media iaitu kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga orang rakannya yang lain iaitu Ahmad Kamil Abdul Karim yang juga peguam peribadi beliau, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin. Namun jika kita perhatikan terdapat banyak persoalan yang timbul melalui laporan media terhadap setiap kes jenayah yang dilaporkan. Namun persoalan yang paling utama ialah berkenaan keadilan dalam setiap laporan yang disiarkan.

Keadilan yang dimaksudkan di sini adalah berkenaan dengan liputan yang disiarkan oleh media. Sebagai contoh dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya yang lain, dapat kita perhatikan bahawa kebanyakan laporan yang disiarkan seolah-olah hanya jutawan kosmetik Nouvell Visage itu sahaja yang menjadi mangsa. Media kurang menberi penekanan terhadap mangsa yang lain walaupun ternyata mereka telah dilaporkan dibunuh dengan cara yang sama. Sebagai pengamal media yang beretika, setiap laporan yang disampaikan perlulah seimbang dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pihak. Seharusnya media lebih bertanggungjawab demi menjaga hati dan perasaan ahli keluarga mangsa yang lain.

Seperti yang telah dinyatakan bahawa melalui laporan yang disiarkan, telah menyebabkan masyarakat bertindak sebagai hakim dan menjatuhkan hukuman terhadap individu sebelum pembicaraan sebenar dimulakan. Dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati, media telah melaporkan bahawa pihak polis telah berjaya menahan suspek yang dapat dikaitkan dengan kes pembunuhan Sosilawati. Namun perlu kita persoalkan kembali bahawa walaupun telah ditangkap oleh pihak polis, individu terbabit masih belum boleh disabitkan kesalahan terhadap mereka. Pembicaraan terhadap kes ini masih belum lagi dimulakan dan pihak polis masih dalam proses mengumpul bukti. Apa yang paling penting, pihak polis masih lagi mencari bukti bagi mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah mayat Sosilawati dan rakan-rakannya. Jadi belum terbukti bahawa mangsa adalah mereka yang dilaporkan. Oleh itu, kita perlulah menanti sehingga selesai tempoh pembicaraan.

Oleh itu, kita sebagai pembaca yang bijak janganlah mudah mempercayai dan membuat keputusan sendiri terhadap apa yang kita dengar dan baca sebelum terbukti sehahihan sesuatu maklumat. Biarlah pihak berkuasa yang telah dipertanggungjawabkan untuk memberi keadilan membuat keputusan kerana mereka lebih berhak terhadapnya.

Leave a comment