Inilah Malaysia….

By: nishashah

Aug 04 2010

Category: Uncategorized

Leave a comment

Tanah air tercinta
Ibu Pertiwi warisan bangsa
Negaraku Malaysia bebas merdeka
Lambang keamanan dan kemakmuran

Demikianlah antara petikan lirik lagu Malaysia tercinta ciptaan komposer terkenal iaitu SISO.  Daripada lirik tersebut jelas menunjukkan keadaan negara Malaysia yang aman dan makmur serta kaya dengan warisan peninggalan sejarah. Sejak negara Malaysia merdeka 53 tahun yang lalu, pelbagai kemajuan dan pembangunan yang telah dicapai. Dari sebuah negara yang mundur telah berubah menjadi negara yang mampu berdiri sendiri dan terkenal seantario dunia. Namun apa yang dapat kita lihat kesan dari  pembangunan yang kini kita kecapi telah membuatkan kita lupa dari mana asalnya. Pemikiran yang terlalu terbuka menyebabkan unsur-unsur negatif dari luar mudah menyerap masuk ke dalam minda masyarakat Malaysia. Anak-anak muda Malaysia pula seakan tidak mahu menyelami intipati asal kewujudan negara tumpah darahnya. Bahkan ada yang tidak kenal pada pahlawan-pahlawan yang telah berjuang menentang penjajah sehingga negara ini memperoleh kemerdekaannya. Mereka kini lebih berbangga pada sejarah-sejarah luar kerana bagi mereka sejarah negara ini begitu membosankan unutk dipelajari. Mengapakah perkara sebegini terjadi? Siapakah yang harus dipersalahkan apabila anak-anak muda Malaysia tidak mengetahui jumlah warna yang ada pada bendera Malaysia serta maksud di sebaliknya?

Di sebalik setiap pembangunan yang dibanggakan, telah wujud satu fenomena yang amat membimbangkan. Peningkatan kes-kes jenayah yang berlaku telah sedikit sebanyak mencalarkan imej baik negara Malaysia. Kes-kes yang berlaku seperti rompakan, rogol, samun, pembunuhan dan sebagainya seakan suatu kejadian harian yang menjadi berita wajib siar di dada-dada akhbar kini. Oleh itu, timbul satu pertanyaan, apakah masyarakat Malaysia kini sudah hilang pertimbangan sehinggakan sanggup melakukan jenayah semata-mata untuk memuaskan hati sendiri?

Berita tentang kes-kes pembunuhan kini bagaikan sudah lali di dengar. Suatu ketika dahulu, apabila mendengar tentang kes pembunuhan sudah pastinya masyarakat akan mengambil berat tentang apakah yang sebenarnya berlaku. Namun apa yang terjadi kini, apabila seseorang itu tidak berpuas hati dengan individu yang lain maka penyelesaiannya adalah – bunuh! Jika kita lihat kembali rentetan perjuangan pahlawan dahulukala, meraka bersatu padu menentang penjajah dan musuh. Mereka membunuh musuh yang bermaharaja lela di negara ini. Namun apa yang berlaku kini masyarakat tidak lagi takut pada hukum dan undang-undang. Segala yang dilakukan mempunyai kepentingan diri sendiri. Dan inikah yang harus menjadi identiti sosial negara Malaysia?

Dari sudut ekonomi pula, pembangunan yang pesat telah merubah dari sebuah negara yang bergantung pada sumber pertanian kepada negara yang berjaya dalam bidang perindustrian. Peningkatan pelaburan dari pelabur-pelabur asing telah berjaya meningkatkan taraf ekonomi negara ini. Namun apa yang dapat kita lihat juga, dengan kemajuan ini juga terdapat ‘nila’ yang berusaha untuk merosakkannya. Isu rasuah memang sudah tidak asing lagi bagi masyarakat negara kita. Dari pegawai atasan hinggalah kepada pekerja bawahan, semuanya terlibat dengan rasuah. Satu badan telah ditubuhkan bagi mencari penyelesaian kepada isu ini iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR). Tetapi apa yang dapat kita lihat kini, seakan ada yang tidak senang melihat pegawai SPRM melakukan tugasannya. Mereka cuba untuk mensensasikan setiap kes yang disiasat dan menjatuhkan hukuman sebelum seseorang itu diadili. Individu seperti ini pastinya tidak akan pernah puas dengan setiap apa yang dilakukan bahkan mereka cuba unutk menegakkan benang yang basah. Sewajarnyanya hal ini perlu diambil serius oleh semua pihak kerana ia bagaikan jarum halus yang telah memasuki tubuh, memberi kesakitan namun susah unutk dikesan.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian kini adalah tentang isu perpaduan masyarakat Malaysia. Bangsa Melayu dengan isu perpaduan sesama rakyatnya dan begitu juga dengan bangsa China dan India. Masing-masing berbalah sesama sendiri demi mengejar pangkat dan nama. Hal ini sepatutnya tidak berlaku tatkala Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang giat menanamkan semangat 1Malaysia dalam diri setiap rakyatnya. Tetapi apa yang dapat kita lihat perpecahan pula yang berlaku. Hal ini pastinya kerana kurang semangat sayang akan tanah air sendiri. Mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding dengan kepentingan bangsa. Jika pemimpin bangsa, masing-masing berlawanan berebut kuasa maka yang pastinya yang akan menderita adalah rakyat. Bak kata pepatah, gajah sama gajah berjuang pelanduk mati di tengah-tengah. Oleh itu, sebelum sesuatu perkara yang lebih buruk berlaku maka kita perlulah mengambil pendekatan mencari penyelesaian kepada masalah yang berlaku supaya ia dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik dan membawa kebaikan kepada semua pihak.

Sebagai rakyat Malaysia yang amat cinta pada tanah tumpah darahnya, sudah pasti kita tidak hanya wajar untuk berbangga dengan setiap kejayaan yang dicapai namun kita harus menyelami apa sebenarnya penyakit yang sedang dihadapi oleh masyarakatnya kini. Jadi apabila kita sudah tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam masyarakat maka kita akan berusaha untuk mengatasinya. Hal ini amat penting untuk kesejahteraan rakyat Malaysia. Negara kita tanggungjawab kita, bersama kita membangunkannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: