RASUAH…KENAPA PERLU DIPOLITIKKAN???

By: nishashah

Jul 24 2010

Category: Uncategorized

Leave a comment

Bertempat di Dewan Sri Bestari Intekma Resort  telah berlangsung satu forum akademik yang bertajuk “Rasuah Satu Jenayah. Kenapa Dipolitikkan?” anjuran tiga buah fakulti Universiti Teknologi Mara, Shah Alam iaitu Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi. Forum akademik ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM sendiri iaitu Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Forum akademik ini telah berjaya mengumpulkan ahli panel yang cukup hebat dan berpengalaman dalam isu yang berkaitan dengan rasuah dan situasi politik di negara ini. Mereka adalah terdiri daripada Datuk Azman Ujang, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM; Datuk Paul Low, President Transparency International Malaysia; Dr. Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan En. Akhbar Satar, Pengarah Akhbar and Associates. Forum ini telah dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Haidar Dziyauddin yang juga Penasihat Undang-Undang UiTM.

Ucapan perasmian dari Naib Canselor telah nyata menegaskan bahawa forum ini amat bertepatan dengan situasi masa kini dan berharap mahasiswa perlu memahami bahawa rasuah merupakan satu jenayah dan mengapa ia tidak sewajarnya dipolitikkan. Maka mereka perlu menjauhkan diri dari jenayah ini sama ada di dalam mahupun di luar kampus. Sebagai mahasiswa, mereka perlu menanamkan pada diri bahawa rasuah merupakan satu jenayah yang utama dan selepas ini mereka juga diharapkan untuk turut sama  membantu bagi membanteras jenayah ini apabila keluar dari UiTM kelak. Harapan yang disandarankan ke bahu mahasiswa UiTM ini jelas memperlihatkan bahawa mereka merupakan tonggak utama negara pada masa hadapan. Oleh itu, sewajarnya mereka mengambil serius tentang perkara ini.

Forum akademik yang merangkumi tiga segmen ini telah berjaya mengupas tajuk yang diberi dengan cukup menarik dan baik. Datuk Azman sebagai ahli panel pertama menegaskan bahawa rasuah merupakan jenayah yang berbahaya. Hal ini kerana telah terbukti bahawa rasuah dapat menjatuhkan negara bukan hanya dari aspek ekonomi bahkan juga sosial. Oleh sebab itu juga kerajaan telah menubuhkan satu badan untuk menjalankan penyiasatan yang melibatkan kes rasuah iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah (BPR). Namun, beliau tidak menafikan bahawa di Malaysia kebanyakan perkara dipolitikkan, dan kes rasuah juga tidak terkecuali. Hal ini kerana terdapat sesetengah pihak yang kononnya ingin membanteras jenayah ini tetapi sebenarnya mempunyai motif lain. Oleh itu, apabila sesuatu kes rasuah dilaporkan maka media akan turut dipanggil. Mereka ini sebenarnya hanya mementingkan diri dan suka menjatuhkan maruah orang lain. Terdapat juga sesetengah pihak yang kononnya ingin memerangi rasuah tetapi dalam pada masa yang sama menyerang SPRM, dalam erti kata lain untuk melemahkan semangat pegawai-pegawainya. Apabila mutu kerja pegawai SPRM menurun maka mereka tidak akan lagi berminat untuk menyiasat kes-kes rasuah. Walaupun pada suatu ketika dahulu perkara sebegini pernah berlaku namun semangat pegawai-pegawai SPRM berjaya dipulihkan dan kes rasuah berjaya disiasat dengan jayanya. Datuk Azman juga memetik kata-kata Tun Hamid Mohd iaitu bekas hakim negara yang menyatakan bahawa dalam memerangi rasuah, semua pihak harus bekerjasama dengan mengenepikan perbezaan fahaman politik, kedudukan dan sebagainya. Ternyatalah di sini bahawa rasuah perlu dibanteras dengan sepenuhnya kerana ia mampu memusnahkan negara pada keseluruhannya.

Bagi Datuk Paul pula, dengan meningkatnya kes-kes rasuah ini maka ia secara langsung menimbulkan rasa takut pelabur- pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Mereka merasakan bahawa terdapat risiko yang tinggi untuk melabur di negara ini. Oleh itu jika hal ini berlaku maka ekonomi negara yang dijana oleh pelaburan asing pastinya akan merosot. Ternyata dalam memerangi gejala rasuah ini seharusnya dimulai dari dalam individu itu sendiri. Hal ini kerana isu rasuah melibatkan integriti individu. Menurut beliau lagi, jika kita menuduh seseorang yang tidak bersalah maka kita telah menfitnahnya. Sebagai seorang individu yang bertanggungjawab seharusnya kita tidak menghukum seseorang sebelum terbukti kesalahannya dan kita juga tidak seharusnya memberi komen kepada media tentang sesuatu perkara yang belum terbukti kesahihannya kerana berkemungkinan ia akan memburukkan lagi keadaan.

Dr. Ridhuan Tee pula mengemukakan persoalan, jika kita memegang prinsip bahawa makan babi itu adalah haram maka mengapa pula kita seolah-olah menghalalkan riba di dalam kehidupan harian. Sedangkan telah dijelaskan di dalam Al-Quran bahawa hukum makan riba itu juga adalah haram apatah lagi ia melibatkan rezeki yang diberikan dan bersama-sama dikongsi dengan ahli keluarga. Beliau menambah lagi bahawa rasuah bukan sekadar jenayah bahkan terdapat perkiraan syurga dan neraka di dalamnya. Oleh kerana kita melakukan sesuatu yang haram maka tempatnya adalah neraka. Dr. Ridhuan juga menyokong pandangan bahawa semua bidang di negara ini dipolitikkan. Jika diselami, politik sebenarnya berkaitan dengan persepsi. Masyarakat kini suka menuding jari menyalahkan orang lain apabila terjadinya sesuatu perkara. Namun apa yang sepatutnya berlaku adalah kita perlulah mencari apa yang benar dan apa yang salah. Kebanyakan orang yang melakukan jenayah seperti rasuah, mereka seakan tidak takut pada Tuhan. Apatah lagi bagi mereka yang suka mensensasikan hal berkenaan dengan rasuah. Beliau menegaskan bahawa fitnah itu amat buruk. Kita tidak boleh menuduh seseorang tanpa bukti. Jadi dalam melakukan sesuatu perkara maka kita perlu mengikhlaskan hati. Seharusnya kita perlu mengelakkan diri dari berprasangka buruk dengan orang lain. Hal ini amat penting dalam mewujudkan negara yang sejahtera, aman dan sentosa.

Kes rasuah adalah antara yang sukar untuk disiasat. Menurut En. Akhbar, semasa penyiasatan dilakukan, kehadiran saksi adalah amat penting. Namun kebanyakan kes rasuah yang berlaku tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Berdasarkan statistik yan dikeluarkan, kurang dari 80% kes rasuah yang dilaporkan. Kebanyakan dari mereka mendiamkan diri kerana takut imej tercemar. Jenayah rasuah ini juga mampu mempengaruhi kadar pertumbuhan ekonomi negara antara 2-4% setahun. Ternyata jika jenayah ini tidak dibendung maka keadaan ekonomi negara akan menjadi bertambah buruk dan pembangunan sukar untuk dilaksanakan. Beliau juga mengemukakan persoalan bahawa jenayah rasuah ini berlaku disebabkan oleh kelemahan sistem ataupun sikap individu itu sendiri. Contoh yang paling hampir adalah Singapura. Apabila berada di negara tersebut rakyat akan mengikut segala undang-undangnya. Oleh itu mereka tidak akan melakukan jenayah rasuah kerana takut dikenakan tindakan undang-undang. Namun, adakah mereka masih mengamalkan segala prinsip tersebut semasa mereka berada di luar negara tersebut? Ternyatalah di sini bahawa pendekatan secara individual harus diambil bukan sahaja menyedarkan mereka supaya sentiasa mematuhi undang-undang semasa berada di dalam negara bahkan juga semasa berada di luar negara. Mengulas tentang kuasa pendakwaan, beliau memberitahu bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa mana-mana pihak. Pihak yang berkuasa untuk melakukan pendakwaan hanyalah pendakwaraya sahaja. Beliau juga menegaskan bahawa keterangan dan fitnah adalah dua perkara yang berbeza. Keterangan tanpa bukti adalah fitnah, dan fitnah ini dapat memberikan impak yang besar terhadap diri orang yang dituduh. Oleh itu, dalam apa jua keadaan sekalipun seseorang individu itu perlu mengamalkan etika yang baik kerana ia amat penting bagi memberi penunjuk jalan yang benar kepada orang-orang yang berniat untuk melakukan kesalahan tersebut.

Ternyata dalam memerangi gejala rasuah ini, perlulah dimulakan dengan kesedaran yang mendalam di dalam diri individu itu sendiri. Walaupun terdapat banyak kempen dan ceramah kesedaran dalam mengelakkan masyarakat dari terjerumus ke dalam jenayah namun jika tiada kesedaran sivik dalam diri individu maka segala yang dilakukan seakan sia-sia. Sebagai individu yang dikurnia akal maka seharusnya kita berfikir secara waras sebelum melakukan sesuatu perkara. Kita juga tidak seharusnya mudah berprasangka buruk antara satu sama lain. Perbuatan menfitnah atau menyebarkan cerita tentang keburukan orang adalah suatu kesalahan yang besar apatah lagi belum tentu kesahihannya. Oleh itu sebagai rakyat Malaysia yang memiliki rasa cinta akan negara maka kita perlu mengelakkan diri dari terlibat dengan jenayah ini dan bersama membantu untuk membanterasnya. Negara kita adalah tanggungjawab kita.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: